Sarawak contoh amal 1Malaysia
Perdana Menteri akan buat beberapa pengumuman liberalisasi akhir Jun
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Sarawak sebagai contoh amalan budaya hidup 'Perpaduan Melalui Kepelbagaian', sekali gus menjadi petanda konsep 1Malaysia diterima baik rakyat.
"Jika apa yang saya lihat sepanjang lawatan saya ke Sarawak baru-baru ini satu petanda bahawa konsep 1Malaysia itu bukan saja diterima dengan baik oleh rakyat, malah ia adalah satu cara hidup.
"Rakyat Sarawak adalah contoh apa yang saya maksudkan dengan ‘Perpaduan Melalui Kepelbagaian’, seperti yang mereka sama-sama hormati budaya dan perayaan kumpulan etnik mereka yang pelbagai," katanya dalam posting terbaru melalui blognya www.1Malaysia.com.my.
Beliau yang menceritakan lawatannya ke Sarawak baru-baru ini umpama sebuah catatan perjalanan, juga menyifatkannya kunjungan ke Kota Kenyalang itu sungguh berhasil.
"Saya merenung kembali perpaduan yang ditunjukkan yang saya lihat pada dua hari yang lalu. Malah, sebelum saya menjelaskan nilai dan unsur 1Malaysia, ia sudah lama diamalkan oleh rakyat Sarawak, sama ada mereka yang tinggal di pekan dan bandar yang telah maju atau di rumah panjang tradisional dan kampung tinggalan nenek moyang mereka.
"Pada masa yang sama, saya memikirkan akan pentingnya memastikan Kerajaan Persekutuan dan negeri berganding bahu meneruskan usaha untuk membangunkan semua daerah di Sarawak untuk mencapai matlamat dan cita-cita, seperti yang dibincangkan dengan Ketua Menteri Sarawak," katanya.
Beliau turut menyuarakan rasa terkilan atas kesuntukan waktu untuk bertemu dengan anggota Dewan Undangan Negeri; tetapi berjanji tindakan yang sewajarnya akan diambil berdasarkan perbincangan bersama Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud.
Najib berkata, 1Malaysia akan terus menjadi satu proses dinamik pembangunan negara.
Katanya, beliau akan membuat beberapa pengumuman liberalisasi pada akhir Jun ini, dan selanjutnya, akan ada lagi pengumuman pada hari ke-100 saya menjadi Perdana Menteri, khusus untuk rakyat dan menggambarkan konsep "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
"Saya berharap anda semua akan terus menyokong konsep ini melalui penyertaan anda dalam laman web saya melalui interaksi anda dengan rakyat Malaysia yang lain dan sesiapa juga, dan melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni dan prinsip-prinsipnya dalam kehidupan seharian anda," katanya. - Bernama
credits to Berita Harian
Labels: Issues
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home