Wednesday, June 6, 2007
`Inilah jalan yang sudah Mila pilih' Oleh Zubir Mohd Yunus MENGAGUMKAN. Itulah perkataan yang berlegar di fikiran penulis apabila pertama kali menemubual juara AF5, Mila. Orangnya sungguh comel, kecil molek dan selalu diusik, jelmaan Ramlah Ram dan Sheila Majid. Mila petah berbicara. Setiap tutur katanya tersusun rapi dan begitu jelas sebutannya seperti mana vokalnya yang lantang ketika menyanyi. Mungkin pengalamannya berkomunikasi dengan orang ramai ketika menjadi penyanyi lounge di hotel, membuatkan Mila tidak teragak-agak memberikan jawapan pasti malah mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Daripada raut wajah dan pertuturannya, ternyata dia ikhlas dan genuine. Tanpa berselindung dan segan, Mila mengakui ayahnya yang berpengalaman dalam bidang muzik bertugas sebagai pengawal keselamatan, manakala ibu membantu pendapatan keluarga melalui tugas sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang.
"Mila bukan orang senang. Jadi Mila kena kerja keras untuk membina kehidupan Mila sekeluarga," katanya.
Mengulas mengenai kemenangannya sebagai juara pertama AF di kalangan seorang wanita dan desus-desus mendakwa Astro seolah-olah memberinya laluan mudah kepadanya, Mila menyangkal pendapat itu.
Dia memberitahu, ketika dalam AF, dia bersama rakan-rakan diberi peluang memilih lagu sendiri untuk konsert setiap minggu.
"Kalau Mila tahu kemenangan ini satu rancangan Astro, tak perlulah Mila belajar bersungguh-sungguh. Mila masuk AF dengan zero knowledge, tapi berkat kegigihan, hari ini Mila dah ada sedikit ilmu.
Sepanjang tempoh pembelajaran, Mila kerja keras, berfikiran positif dan semua perkara boleh dilakukan kalau ada usaha berterusan.
"Dengan kemenangan ini, ia memperlihatkan pengundi lelaki mahupun perempuan semakin setara, sekali gus memecah monopoli tanggapan yang mengatakan hanya peminat perempuan yang rajin mengundi pelajar lelaki.
"Alhamdulillah, berkat usaha, hari ini sudah menampakkan hasilnya. Mila berjaya membuktikan, kaum perempuan juga boleh mendapat tempat dalam AF," kata Mila yang sentiasa merendah diri dan kalimah insya-Allah selalu terucap di bibirnya.
Perasaan Mila bergelar juara?
"Juara hanyalah pada nama dan gelaran. Inilah permulaan sebenar kerjaya seni Mila. Semuanya dah berada dalam dunia realiti, bukan lagi fantasi. Jadual kerja Mila semakin padat. Dalam hal ini, tak ada apa yang perlu Mila kesalkan kerana inilah jalan yang sudah Mila pilih. Sekarang masa untuk kerja keras memperbaiki mutu persembahan," katanya bersungguh-sungguh.
Pengalaman cinta Mila?
"Mila mengaku Mila pernah bercinta dengan seseorang sebelum Mila menyanyi di Hotel Evergreen dulu. Tapi percintaan kami hanya bertahan kira-kira enam bulan saja. Sekarang, masa dah mula membatasi segala-galanya. Mila kena buat banyak pengorbanan kalau mahu berjaya sebagai artis. "Mila tak boleh memikirkan lagi soal hati. Cinta sebenar Mila adalah lebih kepada membina kerjaya. Mila berazam nak berjaya, nak bantu keluarga. "Pada kesempatan ini, Mila juga ingin ucapkan sekali lagi terima kasih kepada semua pengundi Mila yang tidak jemujemu menyokong Mila dalam AF5. Insya-Allah, Mila akan ingat pesanan orang di sekeliling yang banyak memberikan semangat kepada Mila," ujarnya menyimpul kata.
Artis terkenal hulur pesanan ikhlas buat Mila
TROFI Akademi Fantasia Musim Ke-5 (AF5) sudah menjadi milik Mila atau Norsyarmilla Jirin, 19. Dalam pada dia mula membiasakan diri dengan jadual program yang begitu ketat sebagai seorang penyanyi, apa kata kita renung nasihat serta pesanan beberapa artis terkenal tanah air kepada gadis kecil berbakat besar itu seperti yang dikumpulan wartawan Suzan Ahmad.
ANITA SARAWAK:
"SAYANG pula ketika Mila diumumkan sebagai juara, Kak Nita tak berkesempatan menonton. Ketika itu Kak nita sedang dalam proses rakaman program bual bicara terbaru Kak Nita. Tapi Kak Nita sempat menemubual Ebi. "Rasanya Kak Nita pernah menonton salah satu persembahan Mila dalam konsert mingguan, ketika itu dia hampir tersingkir. Kak Nita Akui Mila ada kualiti vokal yang baik dan gaya persembahan tersendiri. Untuk mendapat nyanyian yang sempurna memang susah sebab ia program live. Cuma jangan sumbang sudahlah. "Mila ada masa depan cerah dalam bidang ini, tapi kena ingat, jangan jadi artis timbul tenggelam. "Sedih Kak Nita, apabila anak-anak muda ini sekejap ada sekejap tiada. Peluang keemasan yang diberi pihak Astro dan Maestro janganlah dipersia-siakan. Ingat pesan Kak Nita, walaupun pengurusan bagus, kita sendiri perlu tahu bagaimana untuk membawa diri dalam dunia hiburan yang penuh pancaroba ini. Beringat sebelum melakukan sesuatu perkara dan jangan pernah jemu untuk belajar perkara baru. Ilmu itu satu kekuatan," pesannya.
AISHAH:
"DALAM ramai-ramai pelajar AF5, saya dapati Mila menunjukkan peningkatan paling memberangsangkan. Masa mula-mula belajar dalam akademi, Mila kedengaran sangat sengau, namun hari demi hari dia belajar dan memperbaiki kesilapan dan mengasah kelebihan yang dimiliki," kata Aishah dengan bersemangat. "Mila comel budaknya. Kalaulah saya cikgu dia, sudah tentu saya sangat berbangga mendapat pelajar yang bekerja keras sepertinya. Dia banyak belajar daripada kesilapan," katanya. Namun Aishah agak terkejut melihat konsep persembahan Mila ketika membawakan lagu Melukut Di Tepi Gantang. "Saya tidak nafikan lain orang lain pula terjemahan lagunya. Benda seni ini tiada satu jawapan yang betul atau salah. Ia cukup subjektif. Apapun Mila membawakan lagu itu dengan baik sekali," katanya. Bercakap mengenai personaliti, Aishah berkata Mila memiliki karakter keanak-anakan yang sangat menawan. "Dia sentiasa bersemangat dan ada attitute. Ia satu pakej yang baik. Harapan saya untuk Mila, anda jadilah diri anda sendiri. Jangan takut untuk mempertahankan apa yang anda fikir baik untuk diri anda," katanya.
ZIANA ZAIN:
"LEGA, akhirnya ada juga bakat baru yang benar-benar hebat, diangkat ke tempat yang selayaknya. Sudah lama saya menanti juara AF menjadi milik pelajar wanita. Akhirnya ia berlaku juga dalam AF5," kata Ziana yang sedang sibuk melayan kerenah anak-anak. "Mila ada potensi besar dalam bidang seni dan dia boleh pergi jauh. Bagi saya setiap penyanyi ada cara dan gaya tersendiri untuk menyampaikan lagu. Itu identiti namanya dan Mila perlu cari identiti itu," jelasnya yang cukup mengagumi cara penyampaian Mila pada konsert akhir, Sabtu lalu. Tambah Ziana, jika diimbas kembali, ramai yang layak untuk bergelar juara cuma nasib tidak menyebelahi mereka. "Saya cukup berbangga, sekurang-kurangnya kita ada seorang wakil yang baik bukan saja dari segi vokal malah personaliti dan penampilan. Mila punya pakej itu. Tahniah Mila!" katanya.
EZLYNN:
"JIKA dengarkan suara, anda tidak menyangka orangnya bertubuh kecil dan comel sekali, terutama vokalnya yang lantang dan serak," kata Ezlynn yang hadir sama di Konsert Akhir AF5 di Bukit Jalil. "Mila membawakan lagu Cinta Pura-Pura dengan begitu baik sekali dan dengan cara yang tersendiri. Wajarlah dia diangkat sebagai juara bagi musim ini. Untuk insan semuda Mila, perjalanan kerjaya seninya masih jauh lagi. Mila perlu banyak bersabar tidak mudah mengalah dan menggunakan kemenangan ini sebagai batu loncatan untuk maju ke depan lagi. Jadi Mila perlu kerja keras," kata penyanyi asal lagu Cinta Pura-Pura ini. "Sebenarnya saya rasa seronok sangat Mila menang. Ada juga wakil kaum perempuan menjadi juara AF akhirnya. Ini bermakna peluang untuk pelajar wanita menjadi juara sebenarnya ada. Jadi gunakan ilmu yang ditimba sebaik-baiknya dan jangan pernah kenal erti putus asa," katanya.
Info Mila
# Mila atau nama penuh, Noorsyarmilla Jirin, 19, dilahirkan pada 23 Disember 1987. Berasal dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan berdarah campuran India Muslim di sebelah ibunya serta Melayu (ayah).
# Anak sulung daripada tiga beradik. Gadis kecil molek ini memiliki ketinggian 148 sentimeter dan berat 37 kilogram. Ukuran pinggangnya 24 inci dan saiz kasutnya pula, 4. Sementara itu, tahi lalat di pipi kiri Mila membawa petanda dia dikatakan mudah menangis.
# Mendapat pendidikan terakhirnya di Sekolah Menengah Teknik Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Air Hitam, Pulau Pinang. Sejak di bangku sekolah lagi, Mila suka menyanyi. Lagu pilihannya ketika sambutan Hari Guru di sekolah ialah Salam Akhir (Sudirman Haji Arshad).
# Selepas tamat alam persekolahan, Mila pernah menyanyi di beberapa lounge hotel sekitar Pulau Pinang. Sebelum menyertai AF5, dia menyanyi selama kira-kira tiga bulan di Hotel Evergreen, Pulau Pinang diiringi pemuzik dan penyanyi Filipina.
# Ayahnya, Jirin Burhan yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan adalah bekas pemain dram manakala ibunya, Zarina Haron, seorang operator pengeluaran di Pulau Pinang.
# Pakaian (jingga): Butik Calvin Thoo, Lot 10, Kuala Lumpur Terima kasih: Calvin Thoo (019-3199 578) Pakaian (hijau/merahjambu): Noor Arfa Batek Sdn Bhd, Medan Tuanku, Kuala Lumpur Terima kasih: Shabri Saad (019-2993 809) Solekan & dandanan: Elle Rahman (012-2582 475)
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home