Mila@Utusan
Dan menariknya, hari ini impian itu bakal digapai dalam genggaman. Sebagai juara, Mila menerima hadiah menghampiri jumlah setengah juta ringgit dan ia bukan lagi mimpi. Pun begitu, gelaran sebagai Juara Akademi Fantasia 5 turut mengheret Mila ke kancah duka. Di sebalik suka dan gembira yang bersatu dalam diri, Mila sebak dan sedih apabila ada pihak yang seolah mempertikaikan kemenangannya.
Menjadi juara wanita pertama semenjak Akademi Fantasia memunculkan diri dari tahun 2003 lagi, bukan mudah Mila menggalas gelaran itu apatah lagi apabila kemenangannya itu dikatakan sudah dirancang oleh pihak penerbit rancangan berkenaan, Astro. Ya, kononnya tahun ini untuk wanita pula, setelah AF membariskan empat jejaka di hadapan kita sebagai juara.
Itu tanggapan sesetengah pihak dan kepada Mila saya ajukan bagaimana perasaannya ketika ini. Di saat-saat ghairah meraikan kejayaan, di saat dia mahu memulakan kehidupan yang semakin terang di hadapan, sudah terhimpit dengan persoalan yang menyakitkan seperti ini. Dan jujur saja, saya terkejut mendengar cara Mila berbicara dengan penuh kematangan. Meskipun di sebalik wajah yang sedikit kurang segar (terlalu letih barangkali), Mila mampu menjawab persoalan saya dengan penuh keyakinan. Bacalah. Selamat berhujung minggu.
Bagaimana kehidupan sekarang?
Begitulah. Mila masih lagi cuba untuk sesuaikan diri dengan jadual kehidupan yang baru. Tidur tak cukup. Malam jadi siang, siang jadi malam. Masa untuk diri sendiri agak kurang. Tapi inilah yang Mila pilih. Mila masih kena banyak belajar. Kena belajar lagi, sebab Mila tak tahu banyak benda lagi.
Masa mula-mula keluar dari AF, apa yang paling Mila takuti?
Menghadiri press conference (Sidang media). Orang cakap PC, PC, apa tu? Mila tak tahu. Dengar cerita masa tu artis jumpa wartawan. Wartawan akan tanya macam-macam soalan. Pedas-pedas soalannya, kita kena sedia. Itulah yang buat Mila memang takut sangat. Kawan-kawan lain pun macam itu juga. Takut. Seram sejuk rasanya.
Pertama kali muncul di sidang akhbar, apa yang berlaku?
Itulah. Akhirnya Mila tahu tak ada benda yang perlu ditakutkan. Tak adalah wartawan tanya soalan teruk-teruk yang macam Mila dan kawan-kawan fikir. Biasa-biasa saja. Tapi Mila ingat pesan Dr. Fazley masa dia datang ke Akademi dulu. Katanya semua wartawan tu okey, kita yang kena pandai handle. Tak ada yang teruk macam yang orang anggap. Jadi Mila percaya sekarang apa yang dia cakap. (ketawa).
Kemenangan Mila sebagai juara tidak dipertikaikan, Mila memang layak. Tetapi ada suara yang menganggap kemenangan itu sendiri bagaikan sudah dirancang oleh pihak Astro, bagaimana pandangan Mila?
Memang hal ni buat Mila sedih juga. Tetapi terpulanglah orang hendak anggap macam mana. Kalau Mila tahu hendak menang dan ada yang akan menangkan Mila, tak payahlah buat susah-susah. Sebenarnya dalam AF tu semua orang ada peluang untuk jadi juara. Tak ada seorang pun yang tak punya peluang tu. Cuma kita berbalik kepada rezekilah. Kalau orang undi kita, alhamdulillah. Tapi Mila anggap kata-kata orang macam itu saja-saja. Mila tak ambil serius walaupun kadang-kadang rasa sedih juga bila baca macam-macam fasal kemenangan Mila. Macam-macam kat surat khabar, Mila terkejut mulanya. Tapi kemudian Mila ambil yang positif sajalah. Ini baru sikit saja. Lepas ini Mila tak tahu apa lagi, harap-harap tidaklah.
Mila sendiri rasa bagaimana?
Kemenangan Mila adalah atas undian orang ramai. Mila bersyukur sebab ramai yang undi untuk Mila pada malam konsert akhir tu. Memanglah, emak Mila di kampung pun sedih bila orang cakap macam ini. Tapi Mila tahu ini dugaan awal sebagai penyanyi. Ini baru sikit. Tugas Mila sekarang kena buktikan yang kata-kata dia orang tu tak betul.
Bagaimana untuk Mila membuktikannya?
Mila ada perancangan sendiri. Tengoklah macam mana. Yang penting, masa akan merubah pandangan orang itu. Sebenarnya yang juara hanya pada malam itu saja, di konsert akhir. Lepas keluar dari AF, semua orang akan dapat peluang yang sama juga. Siapa kerja lebih keras, bersungguh-sungguh dia yang akan dapat. Tak kiralah dia juara ke tak. Itulah yang Mila akan buktikan. Selepas itu barulah orang akan fikir semula bahawa tuduhan itu adalah sesuatu yang tidak benar. Sekarang bila sudah keluar, tugas Mila pula untuk membuktikan apa yang mampu Mila buat sebenarnya.
Tidak semua artis AF bertuah selepas jadi juara. Mila boleh bayangkan, Mila berada dalam kedudukan mana?
Tengok pada usaha kitalah. Yang Mila yakin, Mila tak boleh harapkan pihak lain saja untuk bawa Mila ke depan. Pihak Maestro misalnya, tak boleh harapkan syarikat saja sebab mereka banyak artis lain juga yang perlu diberi perhatian. Usaha Mila sendiri kena ada. Mila sendiri yang akan tentukan masa depan dan arah perjalanan karier Mila. Kalau boleh Mila hendak jadi artis yang boleh berdikari, buat benda sendiri tanpa banyak susahkan pihak lain tetapi dengan bimbingan pihak syarikat rakaman. Perlumbaan sebenarnya baru hendak bermula sekarang, di luar sana setelah AF5 berakhir.
Mila juga dikatakan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Siti Nurhaliza, apa pendapat Mila sendiri?
Ya ke? Pertama kali pula Mila dengar orang bagi tahu macam ini. Jauh sangat tu untuk bandingkan Mila dengan Siti Nurhaliza. Siapalah Mila. Budak baru belajar. Sangat jauh untuk dijadikan perbandingan antara kami.
Yalah, setelah Siti Nurhaliza berkahwin, tempat artis wanita solo yang paling berpengaruh dikatakan bakal terisi dengan kehadiran Mila, boleh ke?
Itu tanggapan orang saja. Kalau ada yang doa macam itu, terima kasih. Tapi Siti sudah berada di kelasnya yang tersendiri. Dia sudah buat yang terbaik dalam kerjaya dia. Sebagai artis angkatan baru, satu tanggungjawab untuk Mila buat sebagus dia dan artis-artis lain juga yang sudah ada nama. Tapi Mila masuk dunia seni bukan untuk bersaing dengan sesiapa, apatah lagi dengan artis yang sudah senior. Mila hanya hendak kembangkan bakat, bantu keluarga biar mereka lebih senang. Dulu Mila menyanyi di kelab, sekarang Mila bakal menjadi artis rakaman. Itu satu pembaharuan dalam kehidupan dan Mila harap akan datang kejayaan yang lebih besar lagi untuk hidup Mila dan keluarga. Mila anggap kalau Mila berjaya, ia adalah anugerah dan hadiah bernilai untuk keluarga.
Ceritakan sikit latar belakang keluarga Mila?
Mila bukan anak orang senang. Ayah Mila cuma bekerja sebagai pengawal keselamatan. Emak Mila pula kerja operator kilang di Pulau Pinang. Mila anak sulung dari tiga beradik, banyak tanggungjawab Mila terhadap adik-adik. Sebab itu masa umur kecil lagi Mila sudah pandai cari duit poket sendiri. Percaya tak, Mila pernah kerja jual tin kosong untuk dapat duit tambahan?
Masa tu umur berapa?
Masa tu dalam 11 tahun. Mila dengan adik. Walaupun emak dan ayah tak suruh, Mila buat sebab hendak dapat duit saku buat belanja sendiri. Mila puas walaupun dengan hanya kutip tin tepi jalan, bila dapat seringgit dua tu Mila dapat beli apa yang Mila hendak. Dan kesusahan itu jadikan siapa Mila hari ini. Impian Mila besar, cita-cita Mila tinggi. Mila kena belajar lagi untuk pergi lebih jauh dalam bidang ini. Insya-Allah.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home